1.0
Artikel isu yang dipilih
‘Pelajar
terkilan sikap guru bahasa Inggeris perbodohkan pelajar’.
KAMI
pelajar tingkatan tiga di SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong amat kecewa dengan
sikap seorang guru bahasa Inggeris yang berkelulusan dari universiti di Amerika
Syarikat.
Pada
hari pertama beliau memasuki kelas kami, kami begitu bangga dan teruja kerana mendapat
guru bahasa Inggeris lulusan dari luar negara.
Tentu
hebat orangnya, tentu juga hebat cara mengajarnya dan tentu sekali harapan kami
akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cepat dan mudah.
Malangnya,
apa yang kami harapkan tidak kesampaian. Pada setiap hari, beliau memulakan
pengajarannya dengan memperbodoh-bodohkan kami, mukanya tidak pernah
menyenangkan hati kami dan ada kalanya menyalahkan guru bahasa Inggeris kami
yang terdahulu.
Agaknya,
begitulah caranya lulusan luar negara mengajar? Memaki, menghina, menjatuhkan
maruah kami?
Semuanya
ini berbeza dengan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu, iaitu lulusan
dalam negara saja. Mereka begitu sabar, teliti, sentiasa memberi motivasi dan
tekun mengajar, malah tidak kedekut dengan masa, tenaga malahan wang ringgit.
Jika
guru lulusan Amerika ini terus mengajar kami, saya rasa akan gagal dalam mata
pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
kelak.
Mohon
jasa baik pengetua menggantikan guru ini dengan guru bahasa Inggeris lain yang
lebih memahami jiwa, kehendak dan pencapaian kami.
PELAJAR
TERHINA,
SMKDS
2.0
Analisis Isu
Artikel
di atas merujuk kepada perasaan kecewa sekumpulan murid terhadap sikap seorang
guru Bahasa Inggeris yang mengajar
mereka. Guru tersebut menghina dan memperbodoh-bodohkan pelajarnya. Guru Bahasa
Inggeris itu juga tidak menunjukkan minat dan tidak menunjukkan kesantunan dari
segi berbahasa dan tingkah laku. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku
dalam kalangan guru. Guru adalah seorang pendidik yang perlu menunjukkan sikap
dan sahsiah yang baik kepada pelajar. Guru tersebut perlulah ikhlas dan
bersemangat untuk mengajar dan bukannya memperbodoh-bodohkan dan memperlekehkan
pelajarnya. Sebagai seorang guru, kita mestilah ikhlas dan sanggup berkorban
demi merealisasikan hasrat pelajar dan juga ibu bapa mereka.
Dalam
isu ini, kesantunan guru adalah perkara yang perlu dititikberatkan. Kesantunan
atau etiket adalah tatacara, adat atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat.
Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh
suatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekaligus
menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. Oleh itu, usaha
membentuk kesantunan dalam kalangan murid bermula dengan kesantunan yang
dipamerkan oleh guru terlebih dahulu. Kesantunan guru memperlihatkan sikap yang
mengandungi nilai-nilai sopan santun dan etiket dalam pergaulan sehari-hari. Guru
Bahasa Inggeris tersebut perlu menunjukkan sikap dan kesantunan yang tinggi
kepada pelajarnya. Tidak sepatutnya seseorang guru merendah-rendahkan
pelajarnya. Perkara ini akan menyebabkan pelajar berasa terhina dan tidak
bersemangat untuk belajar.
Ciri-ciri
kesantunan ialah guru mestilah ikhlas, jujur, baik, penyayang dan sanggup
berjuang untuk agama, bangsa dan Negara. Tugas guru sangat berat untuk mendidik
murid untuk berjaya dalam pelajaran dan juga mempunyai sahsiah diri yang baik.
Guru juga perlu bersyukur dan berterima kasih tidak kira pada sesiapa. Guru
perlu sentiasa mempunyai sifat yang baik dan sentiasa berterima kasih dan
bersyukur. Contohnya, guru bahasa Inggeris ini perlulah bersyukur kerana diberi
peluang pekerjaan yang baik dan bersyukur dengan kelulusan yang ada bukannya
meninggi diri. Guru juga perlu menghargai dan menghormati pihak lain. Guru
perlu menghormati pentadbir sekolah, rakan-rakan guru, ibu bapa dan juga
pelajar. Di dalam percakapan pula, guru perlu menggunakan kata-kata yang baik
semasa berkomunikasi. Ucapkanlah perkataan yang baik-baik semasa mengajar dan
juga berkomunikasi kerana pelajar sangat sensitif dengan perkara ini. Ciri-ciri
kesantunan yang seterusnya ialah guru perlu peramah, pemurah dan bersedia
memperbaiki kesalahan yang dilakukan oleh pelajar-pelajarnya. Mengenai isu ini,
guru tersebut perlulah pemurah dan sentiasa bersedia memperbaiki kesalahan yang
dilakukan oleh pelajar-pelajar bukannya marah dan memperbodohkan pelajar
tersebut. Guru Bahasa Inggeris tersebut perlu memberi tunjuk ajar dan
membimbing kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.
3.0
Kesantunan Tingkah laku
Kesantunan
tingkah laku adalah tatacara bertindak atau gerak-geri guru etika menghadapi
sesuatu atau dalam situasi tertentu. Guru perlu bijak dalam membentuk tingkah
laku. Guru sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Oleh itu, aspek kesantunan
perlu diutamakan. Kesantunan berbahasa tercermin dalam cara guru berkomunikasi
sama ada dari segi verbal atau cara berbahasa. Ketika berkomunikasi, guru perlu
mengambilkira kepada norma-norma budaya dan tidak hanya sekadar menyampaikan
idea yang difikirkan sahaja. Cara bahasa perlu disesuaikan dengan unsur-unsur
budaya yang ada dalam masyarakat setempat dan perkataan atau bahasa yang
digunakan perlulah sesuai dengan situasi ketika berkomunikasi. Apabila cara
berbahasa seseorang guru tidak sesuai dengan norma-norma budaya, maka akan
dilabelkan dengan nilai negatif. Guru yang tidak dapat menggunakan kesantunan
berbahasa dengan betul mungkin akan dianggap sebagai seorang yang sombong,
angkuh, tak acuh, egois,tidak beradat, bahkan tidak berbudaya.
4.0
kesantunan Berbahasa
Cara
berbahasa sangat penting dikuasai oleh guru demi kelancaran komunikasi. Oleh
itu, masalah cara berbahasa ini harus mendapat perhatian terutama dalam proses
belajar mengajar bahasa. Dengan mengetahui cara berbahasa diharapkan seorang
guru akan dapat menyampaikan mesej dengan jelas dalam komunikasi tersebut,
khususnya ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Cara
berbahasa seseorang guru dipengaruhi oleh norma-norma budaya suku bangsa atau
kelompok masyarakat tertentu. Cara berbahasa orang Inggeris berbeza dengan cara
berbahasa orang Amerika meskipun mereka sama-sama berbahasa Inggeris. Begitu
juga cara berbahasa orang Kelantan berbeza dengan cara berbahasa orang Pulau Pinang meskipun mereka sama-sama
berbahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa kebudayaan yang sudah menjadi darah
daging pada diri seseorang berpengaruh pada pola berbahasanya. Itulah sebabnya,
seseorang guru perlu mengenali atau memahami norma-norma budaya sebelum atau di
samping menggunakan bahasa ketika berhadapan dengan pelajar.
Semasa
kita menjadi guru, kita selalu menasihati murid untuk menghormati kita. Kita
sering cuba menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar untuk mereka
sentiasa bersopan-santun dan beperkerti mulia. Namun sedarkah kita, di dalam
profesion perguruan ini juga, kita perlu menghormati pelajar dan juga rakan
guru yang lain. Guru Bahasa Inggeris tersebut perlu menghormati pelajarnya
walaupun mereka tidak pandai dan tidak seharusnya sombong dengan kelulusan yang
ada bahkan menggunakan kelebihan itu untuk mendidik pelajarnya. Oleh kerana
kadang-kadang kita berada di tempat yang lebih tinggi, namun bukan bermakna
kita boleh merendahkan orang di bawah kita. Pelajar yang sedang menimba ilmu dengan kita tidaklah boleh
dianggap sebagai kosong dan dan jauh lebih rendah budi pekertinya daripada
kita. Oleh yang demikian, sekalipun sudah bergelar guru, maka kita harus pandai
menghormati orang lain.
Kesantunan
tutur kata, senyuman yang manis dan telus serta sapaan berbentuk pujian
merupakan aspek kesantunan yang sentiasa diberi pujian merupakan aspek kesantunan
yang diberi perhatian oleh seseorang yang berilmu dan terpuji akhlaknya. Guru
sepatutnya menjadi sebahagian daripada orang yang dimaksudkan tersebut. Oleh
kerana itu, guru haruslah selalu menjaga ucapannya agar senantiasa mengamalkan
kesantunan berbahasa dan mampu memilih bahasa yang santun dan sesuai kepada
para muridnya, wapaupun murid mereka menunjukkan tingkahlaku yang bermasalah.
Guru seharusnya menjadi teladan bagi murid dengan menerapkan prinsip kesantunan
dalam setiap tutur katanya. Kesantunan berbahasa murid menjadi pemangkin kepada
pembentukan keperibadian murid.
5.0
Kepedulian Guru
Selain
itu, guru Bahasa Inggeris tersebut mestilah mempunyai sikap kepedulian kepada
pelajarnya. Secara ringkasnya, Pendekatan Kepedulian (Caring Approach) adalah
salah satu pendekatan yang dapat digunakan dalam pengajaran Pendidikan Moral di
sekolah. Pendekatan jenis ini telah
dipelopori oleh Noddings (1984). Noddings telah membuat beberapa sumbangan yang
signifikan kepada bidang pendidikan. Antaranya beliau telah mengkaji etika
kepedulian dan hubungannya terhadap persekolahan, dan juga terhadap proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam keluarga dan komuniti tempatan. Beliau
juga telah berjaya mendemonstrasikan signifikan kepedulian dan perhubungan
sebagai matlamat pendidikan.
Dari
segi moral, pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk
berkorban demi orang lain. Kepedulian, atau dalam istilah yang lain ialah
‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan ‘menyayangi’, yang melibatkan responsif
sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan perhatian
terhadap pengalaman mereka. Perkataan ‘care’ itu sendiri daripada ‘caring
approach’ diambil daripada konteks Anglo Saxon, dimana ia membawa maksud
kesedihan atau keresahan. Oleh yang demikian, kepedulian bolehlah didefinisikan
sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain.
Nodings
melihat pendidikan sebagai medium yang penting dalam mengembangkan perasaan
kasih sayang dalam masyarakat. Beliau mendefinisikan pendidikan sebagai tempat
perjumpaan yang dirancang atau tidak dirancang yang menggalakkan perkembangan
melalui penimbaan ilmu pengetahuan, kemahiran, pemahaman dan penghargaan.
Dengan itu, beliau menyatakan rumah sebagai tempat utama untuk menimba ilmu
pengetahuan. Ini sebenarnya bukan menolak peranan sekolah tetapi untuk
mengenalpasti apa yang boleh dilakukan oleh rumah untuk memperkembangkan
kanak-kanak dan orang muda.
Untuk
melihat dengan lebih jelas bagaimana pendekatan ini akan dapat meningkatkan
pengajaran guru, perbincangan akan merujuk kepada empat komponen penting dalam
pendekatan ini, iaitu:
1.
Modeling
Komponen
ini adalah penting dalam menunjukkan bagaimana kita mengambil berat terhadap
orang tersayang. Oleh itu, kita menunjukkan kepada mereka bagaimana untuk
mengambil berat dan menyayangi dengan cara membuat hubungan yang baik terhadap
mereka. Keupayaan untuk mengambil berat mungkin bergantung kepada pengalaman
yang cukup dalam disayangi.
Merujuk
kepada komponen ini, sekiranya guru mengamalkannya dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah, guru akan dapat menamkan perasaan sayangkan
murid-murid. Perasaan sayang ini pula akan membolehkan guru mengambil berat
terhadap setiap permasalahan yang dihadapi oleh murid-muridnya. Sebagai contoh,
seorang guru yang sedang mengajar terlihat seorang muridnya sedang murung dan
kelihatan pucat. Guru yang memiliki perasaan kasih sayang terhadap muridnya
sudah tentu akan bertanya kepada murid berkenaan sama ada dia mempunyai masalah
atau sebaliknya. Sikap guru sedemikian akan dijadikan contoh oleh murid lain di
kelas itu. Mereka juga sudah tentu akan lebih menyayangi dan mengambil berat
perihal rakan sekelas. Keadaan seumpama ini sudah tentu akan dapat menjalinkan
hubungan rapat di antara guru dan murid.
2.
Dialog
Komponen
ini bukan sahaja percakapan atau perbualan semata-mata, tetapi ianya mempunyai
pembuka dan penutup, dimana kedua-dua pihak mengetahui keputusan atau matlamat
yang akan dicapai melalui akiviti berdialog. Ia memberikan pelajar peluang
untuk bertanya dan membantu kedua-dua pihak mencapai keputusan yang seimbang
dan dipersetujui. Guru yang mengamalkan komponen ini pula akan sentiasa
mewujudkan komunikasi di dalam kelasnya. Komunikasi yang baik di antara guru dan
murid sudah tentu akan meningkatkan penglibatan murid dalam pengajaran dan
pembelajaran. Ini seterusnya akan dapat meningkatkan lagi kualiti pengajaran
guru.
3.
Praktis
Komponen
ketiga ini menyatakan bahawa sikap dan mentaliti sedikit sebanyak dihasilkan
oleh pengalaman. Praktis yang diberikan mesti dengan orang yang boleh
mendemonstrasi sikap penyayang, kerana kita tidak mahu anak-anak kita
mempelajari kemahiran menyayangi dan mengambil berat tanpa ciri-ciri sikap
penyayang. Komponen ini juga hampir sama dengan komponen modeling di masa guru
akan mempraktikkan bagaimana untuk menunjukkan kasih sayang di antara guru dan
murid. Sebagai contoh, guru bertanya khabar kepada seorang murid. Apabila guru
berbuat demikian, murid itu mengucapkan terima kasih. Pertanyaan guru dan
maklum balas murid itu merupakan salah satu praktis. Praktis yang dilakukan
secara bersungguh-sungguh juga akan dapat menggalakkan hubungan baik di antara
guru dan murid.
4.
Kepastian
Komponen
ini boleh didefinisikan sebagai perlakuan yang menggalakkan sesuatu yang
terbaik daripada orang lain (Martin Buber, 1965). Apabila kita pasti seseorang
itu mampu melakukan yang terbaik, kita dapat meningkatkan dan menggalakkan
perkembangan mereka. Kita boleh melakukan ini hanya sekiranya kita mengenali
seseorang dengan cukup rapat untuk mengenalpasti apa yang mereka hendak capai.
Sebagai contoh, jika guru tahu bahawa minat murid-murid di kelas berkenaan
adalah lebih kepada belajar menggunakan teknologi maklumat, misalnya komputer,
guru perlu menggalakkan aktiviti tersebut. Langkah guru ini sudah tentu akan
mewujudkan rasa penghargaan di kalangan murid-murid dan mereka sudah tentu akan
melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran guru.
Seseorang guru juga boleh
menunjukkan sikap kepedulian dengan mengamalkan komunikasi secara berkesan.
Guru boleh mengamalkan ‘Budaya Cut Apple A’ dalam proses pengajaran dan
pembelajaran serta mengamalkan sikap ini pada bila-bila masa.
BUDAYA
CUT APPLE A
C CARING
• menumpukan perhatian kepada idea dan
perasaan rakan
• menunjukkan sifat penyayang dan
mengambil berat
• bersifat terbuka dan mendengar apa
yang telah rakan tuturkan
U UNDERSTANDING
• mempunyai kemahiran “caring”
• memahami maksud dan dapat merasai
perasaan pengalaman orang lain
• elak daripada membebel, menilai dan
menghukum
T TRUSTING
• harus mempercayai rakan yang telah
memberi perhatian kepada kita
• kepercayaan akan wujud dari tingkah
laku dan gerak badan yang bukan lisan
A ACCEPTING
• menghormati rakan/orang lain kerana
mereka ada harga diri
• memahami dan menghargai
• elakkan dari menghukum dan melebel
P PATIENCE
• kesabaran menghadapi tingkah laku
manusia
• berupaya mendengar dengan tekun
• dapat mengawal perasaan
• belajar menghormati, menghargai dan
memahami orang lain
P POSITIVE THINKING
• keupayaan melihat sesuatu dari
perspektif positif
• sesuatu yang terjadi mesti ada hikmah
dari allah/tuhan
• cuba melihat kebaikan disebalik isu
yang dianggap negatif
L LISTENING
• jadi pendengar yang baik dan aktif
• memahami maklumat yang diterima
dengan berkesan
• pendengar yang baik bukan pendengar
yang pasif
• belajar mendengar yang tersirat,
bukan yang tersurat sahaja
E EMPATHY
• keupayaan melihat sesuatu dari
perspektif orang lain.
• berupaya merasakan sebenar perasaan
orang lain
• masuk dalam diri orang yang
menyatakan perasaannya
• tahap empathy yang tinggi terhadap
rakan sekerja
A ASSERTIVE
• bersifat assertive
• menyatakan perasaan kita secara
berterus terang
• menyatakan hak kita dan menghormati
hak orang lain
• disenangi dan mudah didampingi.
• mudah berkomunikasi
Kesimpulannya,
setiap guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta
boleh dicontohi oleh murid. Pembentukan sahsiah ini termasuklah tingkah laku dn
sikap yang baik, bersabar, bermurah hati, sentiasa bersifat tenang dan mampu
menguruskan kewangan dengan lebih berkesan. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan
sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang diikutinya semasa menjalani
kursus di institut perguruan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat
kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran
yang berkesan.
Walau bagaimanapun, sama ada
seseorang guru itu menerima latihan perguruan atau tidak, dia mestil mempunyai
pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran yng hendak diajarnya. Guru
juga mesti mengetahui kaedah atau cara penyampaian dalam pengajarannya agar
murid-murid dapat memahami apa yang disampaikan olehnya. Selain tugas di
dalam bilik darjah, guru juga mempunyai
peranan-peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat.
Sebagai seorang guru yang terlatih
kita seharusnya Berjaya menunjukkan penampilan diri sebagai pendidik dengan
mempunyai pelbagai ilmu tradisional dan moden. Guru juga perlulah mempunyai
pengetahuan yang mendalam tentang dasar dan aspirasi pendidikan Negara yang
jelas dan mantap. Guru yang bersahsiah tinggi akan menunjukkan etika cemerlang
dalam perkhidmatan mereka. Guru dengan etiket sosial tidak dapat dipisahkan. Etiket
sosial merupakan perilaku , budi bahasa, kebijaksanaan, imej, gerak-geri yang
elok dan meyakinkn mengikut kesesuaian semasa berinteraksi sesuatu majlis rasmi
dan pergaulan sehariannya.
Guru adalah orang yang selalu
mendapat perhatian walau di mana mereka berada. Segala tindak tanduknya
sentiasa diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Adalah menjadi suatu
kewajipan bagi guru-guru mengamalkan penampilan diri dan menunjukkan kesantunan
yang tinggi untuk memelihara martabat profesion perguruan. Oleh kerana guru menjadi idola dalam masyarakat, maka
guru perlu berupaya menampilkan diri dan mengaplikasikan nilai-nilai kesantunan
supaya dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan yang dihadapi.
No comments:
Post a Comment