Sunday, 2 September 2012

ARTIKEL PENDIDIKAN JADI PERISAI PALING BERKESAN


PENDIDIKAN JADI PERISAI PALING BERKESAN

Dasar sederhana Malaysia menerusi modal insan berilmu mampu atasi ekstremisme

GAGASAN kesederhanaan dan penubuhan Institut Wasatiyyah seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini jelas menggambarkan komitmen dan iltizam Malaysia meletakkan kesederhanaan sebagai asas pemikiran dan pembangunan modal insan yang tepat untuk negara juga dunia. Kesederhanaan mendorong pemikiran manusia menolak perbuatan melampau atau ekstremisme, sebaliknya mempromosi keseimbangan yang mengutamakan kesejahteraan bersama.
Perbuatan melampau sering dikaitkan dengan tahap ilmu seseorang yang rendah, menjadikan emosi dan semangat keterlaluan sebagai asas bertindak terhadap sesuatu perkara. Maka timbullah implikasi tidak baik yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan mengancam keselamatan awam juga negara.

Oleh kerana itu, Malaysia meletakkan pendidikan sebagai agenda utama negara bukan saja untuk melahirkan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan negara, tetapi mengupayakan pemikiran rakyat agar rasional, seimbang dan berpijak di bumi nyata. Pendek kata, mereka yang tahu dan mahu meletakkan keutamaan membangunkan masyarakat serta negara dan bukan memusnahkannya.

Kita sangat bertuah kerana sejak merdeka, kerajaan sememangnya amat komited terhadap pendidikan rakyat. Memang tidak dinafikan, bidang pendidikan mendapat peruntukan besar setiap tahun, misalnya untuk tahun ini, sebanyak RM50.1 bilion disediakan. Daripada jumlah itu, RM37.2 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, manakala RM12.9 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Lebih penting, matlamat dan tujuan pendidikan mendasari peruntukan besar ini, dan ia tidak lain dan tidak bukan, selari dengan gagasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’ Kerajaan mahu membangun dan memaksimumkan potensi setiap rakyat, yang mana pendidikan perlu dinikmati semua yang berkelayakan tanpa mengira kaum, agama mahupun status sosial. Ia juga usaha murni menterjemah pendemokrasian pendidikan di negara ini apabila rakyat bebas menguasai ilmu dan kemahiran.

Bagi tujuan pendemokrasian pendidikan ini juga, tiga pendekatan diambil kerajaan. Pertama, menyediakan akses kepada pengajian tinggi mencukupi. Untuk sesi akademik 2012/2013, dianggar sebanyak 190,000 tempat disediakan bagi program pengajian sama ada di peringkat ijazah pertama, diploma dan sijil di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ini tidak termasuk kira-kira 310,000 tempat yang akan disediakan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sama ada bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej swasta.

Bagi menambah akses pada masa depan, 121 kursus baru diluluskan dan akan diperkenalkan mulai tahun ini dan 2013. Daripada jumlah itu, 44 kursus ditawarkan di peringkat ijazah pertama yang kebanyakannya menjurus kepada Bidang Ekonomi Utama Nasional atau NKEA seperti kejuruteraan teknologi dan sains kesihatan.

Kedua, akses saja tidak memadai. Oleh itu, kerajaan juga menyediakan subsidi bagi mereka yang menyambung pengajian di peringkat tinggi. Selain peringkat ijazah pertama, mereka yang menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah, iaitu sarjana dan PhD turut diberikan biasiswa melalui program MyMaster (RM10,000 setahun) dan MyPhD (RM20,000 setahun). Untuk 2012, kementerian menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk 8,000 tempat MyMaster manakala RM50 juta untuk 1,000 pembiayaan MhPhD dan 100 bagi PhD Industri.


Ketiga, selain akses dan subsidi, pembiayaan berbentuk pinjaman turut disediakan untuk mengurangkan beban rakyat. Sejak diperkenalkan pada 1997, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan pinjaman RM42.9 bilion untuk kira-kira 1.9 juta pemohon.

Pendekatan dan inisiatif ini jelas menggambarkan bagaimana pendidikan amat mudah dinikmati seluruh rakyat.
Jika di beberapa negara lain masih berlaku halangan mendapatkan pendidikan sama ada disebabkan faktor gender, sosial dan tahap ekonomi, Malaysia meneraju dengan meletakkan asas pendemokrasian pendidikan yang kukuh.

Sudah pastinya pelaburan besar yang lakukan kerajaan dalam bidang pendidikan dapat menyumbang kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan negara. Pendidikan asas kepada kebajikan dan kesejahteraan. Melalui pendidikanlah, ia mengupayakan masyarakat keluar daripada kemiskinan, bersedia menghadapi kehidupan dan melayakkan mereka mengambil peluang demi kemajuan masa depan.

Dalam konteks ini, pendidikan diharap menjana modal insan dan modal intelektual atau bakat yang akan mendukung pelan transformasi negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Kita percaya dengan pelbagai bidang pengajian ditawarkan IPT, sama ada berbentuk akademik mahupun kemahiran, ia akan dapat menyediakan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Apatah lagi, dalam era ekonomi bersumberkan kreativiti dan inovasi, modal insan sebegini menjadi pemacu dan tonggak utama kepada keperluan dan masa depan negara.




Lebih jauh daripada itu, kita mesti menerima hakikat pendidikan bukan saja membawa kemakmuran dan kemewahan ekonomi negara semata-mata, tetapi ia adalah tunjang kepada pertahanan dan keselamatan negara. Seperti ungkapan Education is our first line of defense, pendidikan tidak lagi memenuhi keperluan konvensionalnya saja, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan negara.

Negara yang kuat, kukuh dan selamat, tidak lagi bergantung kepada kekuatan tradisional semata-mata, tetapi kini amat berkait rapat dengan faktor pendidikan yang menyediakan modal insan berilmu dan berpengetahuan tinggi.
Mereka ini bukan saja akan menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi apa yang lebih penting, menerbitkan pemikiran tepat, solidariti tinggi dan meletakkan keutamaan kepada negara dan bukan diri sendiri.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi

Sumber:

1.0       PENGENALAN

Pendidikan adalah salah satu institusi yang sangat penting untuk kemajuan masyarakat dan pembangunan insan yang menganggotainya. Melalui pendidikan, kita boleh mewariskan serta mengembangkan nilai dan ilmu serta memajukan teknologi dan peradaban dari generasi ke generasi. Begitu juga, melalui pendidikan  kita boleh menambah kemahiran serta kebolehan insan, memperbaiki kedudukan sosio-ekonominya, dan mempertajam fikiran yang kritikal serta kritis, dan mempertingkatkan nilai akhlak.  Pendidikan adalah merupakan satu kekuatan nasional yang boleh menjamin masa depan rakyat dan juga kecemerlangan negara.

Hussein Haji Ahmad (1993) telah menyenaraikan beberapa fungsi umum pendidikan iaitu seperti sebagai penyalur budaya dan ilmu, penyalur kemahiran dan ketrampilan, penyalur kepercayaan dan sistem, persediaan untuk alam pekerjaan, pengawasan belia, remaja dan kanak-kanak, dan perhubungan rakan sebaya.  Beliau juga membuat kesimpulan bahawa peranan sistem pendidikan sehingga akhir tahun 1980-an bermotif tiga perkara utama.

Pertamanya pendidikan untuk menyediakan tenaga kerja negara.  Keduanya pendidikan sebagai asas perpaduan kaum.  Ketiganya pendidikan adalah untuk pembinaan disiplin di kalangan rakyat berbilang kaum.

Negara sudah merdeka selama 55 tahun. Negara telah mengalami banyak perubahan dalam sistem pendidikan. Bermula dari Penyata Pelajaran Razak (1956), ordinan pelajaran 1957, Laporan Abdul Rahman Talib (1960), akta Pelajaran (1961) dan laporan Kabinet (1979).  Hasilnya berlaku perkembangan dalam sistem pendidikan negara. Perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan berjalan secara terancang dan teratur. Banyak kemudahan–kemudahan pendidikan telah dibangunkan dan pendemokrasian pendidikan telah menjadi satu dari dasar sistem pendidikan di Malaysia.

2.0       PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN
Mengikut Kamus Dewan pendemokrasian bermakna peluang, tindakan atau proses manakala pendidikan bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan. Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang-peluang yang sama untuk semua kanak-kanak mendapatkan pendidikan. Pendemokrasian pendidikan itu ditegakkan atas beberapa prinsip antaranya setiap orang adalah berhak ke atas pendidikan.  Pendidikan haruslah boleh dipelajari secara bebas, tanpa sebarang sekatan-sekatan yang tertentu atau setidak-tidaknya pada peringkat asas dan peringkat dasar.

Salah satu aspek pendemokrasian pendidikan di Malaysia ialah memberikan peluang seluasnya kepada pelajar untuk mendapat pendidikan tanpa mengira kelas sosial, kaum dan juga gender. Pendemokrasian pendidikan merupakan salah satu strategi untuk mencapai misi pendidikan negara, telah mendedahkan masyarakat Malaysia kepada peluang yang luas bagi memperolehi pendidikan pada semua peringkat.

Di Malaysia, pendemokrasian pendidikan tidak berlaku semasa zaman penjajahan. Anggota-anggota masyarakat tidak mempunyai peluang yang sama apabila sekolah–sekolah dibezakan mengikut kaum, kelas atau status, kurikulum dan lokaliti.  Yuran yang dikenakan pada ketika itu juga menyulitkan lagi penduduk miskin.  Oleh itu orang-orang miskin atau sebahagian besar penduduk Malaysia pada ketika itu telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.

 Selepas kemerdekaan kerajaan secara beransur-ansur telah mendemokrasikan pendidikan di Malaysia. Kerajaan telah menyediakan peluang-peluang yang sama untuk semua orang mendapatkan pendidikan. Ordinan Pelajaran 1957 misalnya, telah mencadangkan agar semua kanak-kanak menerima pelajaran dalam tempoh sekurang-kurangnya enam tahun.  Sungguhpun begitu ianya tidak memberikan implikasi yang besar kerana pelajarnya masih lagi dikenakan bayaran yuran bagi mereka untuk mendapatkan pendidikan.
 Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan Laporan Rahman  Talib semakin merealisasikan  pendemokrasian pendidikan. Pendidikan percuma  telah diberikan kepada semua kanak-kanak  mulai tahun 1962. Ini diikuti dengan had umur belajar percuma hingga ke 15 tahun  dan penamatan syarat lulus peperiksaan untuk memasuki  sekolah menengah. Baru-baru ini satuperaturan baru terkandung dalam Akta Pendidikan (Pindaan) 2002 yang memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan rendah sebagai pendidikan wajib. Setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini wajib memastikan anak mereka yang mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari didaftarkan sebagai murid sekolah rendah.  Mereka yang melanggar peruntukan tersebut boleh didenda RM5000.

Seterusnya, pendidikan menengah member peluang untuk semua kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan  telah diberikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelas sosial, etnik,dan gender sekurang-kurang  sekurang-kurangnya hingga ke tingkatan tiga.  Mulai 1999, peluang bagi semua  pelajar untuk memasuki tingkatan empat telah diperluaskan.  Mereka yang hanya lulus satu mata pelajaran sahaja layak untuk naik ke tingkatan empat. Ini bagi memastikan setiap rakyat berpeluang mendapat pendidikan sehingga ke tingkatan lima. Walaupun kerajaan mempunyai beberapa sebab berbuat demikian yang antaranya remaja yang gagal akan menganggur dan menimbulkan masalah yang lain kepada negara tetapi dari sudut lain kerajaan merasakan adalah tidak memadai ilmu yang diterima oleh pelajar berkenaan bagi menghadapi cabaran dunia yang akan datang.

Selain dari itu bentuk bantuan-bantuan pendidikan lain diberikan oleh kerajaan bagi membuka peluang kepada mereka untuk mendapat hak pendidikan. Salah satu  bentuk bantuan ialah dengan penubuhan sekolah-sekolah berasrama yang memudahkan pelajar mendapatkan pendidikan tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke sekolah setiap hari yang sudah tentu memerlukan kos yang banyak.


Pembinaan sekolah-sekolah berasrama penuh juga telah banyak dibina bagi tujuan membuka peluang pendidikan . Pada masa ini terdapat puluhan buah sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan langsung Kementerian Pendidikan Malaysia. Kesemua sekolah-sekolah yang berasrama penuh ini bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar untuk mendapatkan peluang pendidikan.

Sekolah Bestari adalah salah satu ‘flagship’ dalam Koridor Raya Multimedia.  Projek ini telah mendapat perhatian seluruh masyarakat kerana ia merupakan satu usaha menjadikan bidang pendidikan lebih maju dan berdaya saing. Sekolah Bestari akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar lemah atau kuat , kaya atau miskin mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Sekolah Bestari akan mendorong murid mengamalkan akses kendiri dan terarah kendiri, serta mengikut kadar pembelajaran sendiri.

Di samping pembangunan sekolah-sekolah berasrama, sekolah-sekolah harian rendah dan menengah banyak dibina di bandar-bandar ataupun di desa-desa. Kerajaan juga tidak menafikan peluang bagi golongan istimewa ataupun kanak-kanak cacat untuk mendapat hak atau peluang untuk mendapatkan pendidikan. Untuk tujuan tersebut kerajaan telah membangunkan sekolah-sekolah khas bagi memenuhi keperluan.

Pelajar-pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan  yang kebanyakkannya datang dari luar bandar yang latar belakang ekonomi keluarganya rendah telah diberikan biasiswa kecil  atau bantuan kewangan bagi menampung urusan persekolahan mereka.  Selain dari itu, skim bantuan buku teks juga diberikan kepada pelajar yang pendapatan ibubapanya rendah. Pada masa ini syarat bagi mendapatkan hak untuk mendapat skim bantuan  teks adalah bagi ibubapa atau penjaga yang berpendapatan kurang dari RM2000.00 sebulan dan syarat ini dikaji dan diubah mengikut kesesuaian atau keadaan ekonomi semasa.
Kerajaan juga mengambil usaha memperbaiki keadaan murid-murid  terutamanya diluar bandar dengan menyediakan progran-program kesihatan, pemakanan ( Rancangan Makanan Tambahan ) dan lain-lain skim yang bertujuan supaya kanak-kanak berpeluang belajar dalam keadaan yang selesa. Kemudahan–kemudahan yang disediakan ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat desa tetapi layanan yang sama diberikan kepada pelajar-pelajar miskin di bandar.

Selain dari itu pihak kerajaan juga menekan kepada mutu pendidikan bagi menjamin kelancaran pendemokrasian pendidikan di Malaysia. Setiap tahun peruntukan yang besar dikeluarkan bagi membaiki, membaikpulih, menaik taraf sekolah atau bilik-bilik darjah serta menyediakan kelengkapan dan kemudahan pembelajaran . Di bawah Rancangan Malaysia kelapan (RMK-8) Kementerian Pendidikan meluluskan 1,497 projek sekolah rendah dan menengah diseluruh negara dengan peruntukan RM6.2 billion.

Kekurangan guru-guru terlatih diluar Bandar telah diatasi dengan memperkembangkan sistem latihan perguruan.  Latihan perguruan telah dinaik tarafkan kepada peringkat diploma dan tempoh kursusnya selama tiga tahun.  Pengeluaran guru yang mencukupi telah menjamin proses pendemokrasian pendidikan berjalan dengan lancar.  Setiap sekolah akan mendapat guru yang terdiri dari pelbagai opsyen yang akan memenuhi pemintaan atau keperluan pelajar dalam mata pelajaran yang tertentu walaupun sekolah tersebut terletak diluar bandar atau kawasan pendalaman. Institut-institut pendidikan guru ini bukan sahaja mengeluarkan guru-guru biasa, malahan menyediakan guru-guru pendidikan khas bagi mengisi keperluan sekolah-sekolah pendidikan khas.  Sehingga kini terdapat lebih dua puluh buah institut pendidikan yang bertanggung jawab melatih guru-guru pelatih bagi menenuhi kehendak pendidikan di Malaysia.



Bagi guru berijazah, mereka dilatih di universiti-universiti awam bagi mengajar di sekolah-sekolah menengah.  Di samping itu terdapat pula program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah bagi melatih graduan-graduan  yang bukan dari bidang perguruan untuk menjadi guru bagi menjamin bekalan  guru yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan di Malaysia.

Seterusnya  sebuah Universiti pendidikan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dinaikan statusnya dari status asalnya Institut  Pendidikan sultan Idris khusus  untuk perkembangan bidang latihan keguruan. Dengan perlaksanaan akta Pendidikan 1996, berkemungkinan besar pada masa akan datang guru-guru berijazah akan menerima latihan terus di maktab-maktab perguruan bagi menjamin guru-guru yang mencukupi disekolah-sekolah.

Dibidang–bidang pengajian tinggi, peluang-peluang pendidikan telah dibuka dengan luas selepas kemerdekaan dengan penubuhan unniversiti-universiti . Institusi-institusi pengajian tinggi yang awal ialah Universiti Malaya di Kuala Lumpur (1961), disusuli oleh Institut Teknologi Mara (1967), Universiti Sains Malaysia (1969), Universiti Kebangsaan Malaysia (1970), Universiti Pertanian Malaysia(1971)  dan Universiti Teknologi Malaysia (1975). Pada masa ini terdapat lebih banyak universiti awam yang telah dibina termasuklah Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris  Universiti –universiti awam tempatan telah menampung lulusan-lulusan sekolah terutamanya daripada aliran Melayu.  Malahan mulai tahun 1983 semua institusi yang terdapat dalam negara telah menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia sebagai  bahasa penghantar.


Pada tahun-tahun 1990an kerajaan Malaysia telah menjalankan dasar liberalisasi pendidikan. Ianya telah membawa perubahan besar dalam pendidikan tinggi di Malaysia. Pada dekad ini beberapa perubahan telah dilakukan. Usaha telah giat dilakukan untuk memperkembangkan dan memajukan sistem pendidikan negara. 
Melalui akta-akta pendidikan tinggi 1996 telah memungkinkan perkembangan institusi-instutisi pendidikan tinggi  yang mana kebenaran telah diberikan kepada pihak-pihak yang berkelayakan bagi menubuhkan institusi-institusi pengajian tinggi. Dalam tahun 1999 sahaja, tiga kolej universiti atau universiti penuh diwujudkan iaitu Kolej Universiti Islam Malaysia (Kuim), Universiti Teknologi Mara (UiTM),  Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).  Disamping itu kebenaran juga telah diberikan kepada pihak yang berkelayakan untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi swasta yang antaranya seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dan yang terbaru Universiti Tunku Abdul Rahman. Ini satu perkembangan yang baik dalam usaha kita menyemarakan ilmu pengetahuan  dan mendemokrasikan pendidikan tinggi.

Kerajaan juga mengalakkan program pengajian berkembar dengan institusi-institusi luar negara bagi kolej-kolej swasta.  Terdapat juga universiti-universiti tempatan yang menjalankan program pendidikan jarak jauh dan francais . Sebilangan universiti awam sudah mencapai enrolmen melebihi 20,000 pelajar sepenuh masa manakala dengan penubuhan intitusi pendidikan tinggi swasta telah mempunyai enrolmen melebihi 200,000.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memantau sekolah luar bandar dan pendalaman dari masa ke semasa bagi menjamin pendemokrasian Pendidikan di Malaysia berjalan dengan lancar. Kemudahan pendidikan diantara kawasan maju dan mundur seharusnya tiada jurang yang ketara.  Ini merujuk terutamanya kepada mutu persekitaran sekolah, alat kelengkapan dan guru di kawasan-kawasan kampung, ladang-ladang, setinggan, pedalaman (Orang Asli) dan seterusnya.





Pembelaan dan bantuan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pelajar-pelajar yang terpinggir dari sistem pendidikan akibat dari kemiskinan.  Ini akan menjamin mereka supaya dapat bersaing dalam satu sistem pendididkan yang adil pada dirinya dan masyarakatnya. Setiap aduan dan rungutan yang menyentuh mengenai pendidikan dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi haruslah diambil berat dan langkah-langkah tertentu harus diambil untuk menanginya pada semua peringkat supaya kita pada akhirnya mempunyai satu sistem pendidikan yang cukup sihat dari semua segi.   Usaha yang berterusan bagi memajukan pendidikan perlu diberi perhatian bagi meningkatkan mutu pendidikan supaya kita semua dapat berbangga bahawa kita telah dapat mengamalkan pendemokrasian pendidikan dalam ertikata yang sebenarnya.





















3.0       Cabaran Pendemokrasian Pendidikan di Malaysia: Ekuiti dan Kualiti

Cabaran besar kepada sistem pendidikan negara sekarang ialah untuk merealisasikan dasar pendemokrasian pendidikan bukan sahaja daripada aspek ekuiti, tetapi juga kualiti kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang, status sosioekonomi, lokasi dan etnik. Penekanan kepada aspek ekuiti dan kualiti serta kecekapan dan keberkesanan pengurusan institusi pendidikan kini akan menjadi kriteria utama kepada kejayaan pendemokrasian pendidikan keseluruhannya (KPM, 2001).

Pelaksanaan dasar pendemokrasian peringkat pendidikan asas juga telah  dilaksanakan menerusi aspek perundangan dengan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996. Akta Pendidikan 1996 dipinda untuk menguatkuasakan Pendidikan Wajib di peringkat asas. Pelaksanaan Pendidikan Wajib yang dilaksanakan mulai 2003 bertujuan untuk memastikan penyertaan 100 peratus kanak-kanak peringkat umur enam tahun ke atas hingga sebelas tahun ke atas mendapat pendidikan as as yang sempuma. Langkah ini dilakukan dalam usaha meningkatkan akses kohort persekolahan dan mengelakkan berlaku keciciran di peringkat pendidikan asas.

Statistik pada tahun 2000 (KPM, 2001) menunjukkan 97 peratus kanak-kanak berumur enam tahun ke atas mendaftar di sekolah rendah seluruh negara. Angka ini membuktikanBahawa dasar pendemokrasian pendidikan asas dari segi aksesibiliti telah hampir dicapai. Walau bagaimanapun, dari aspek ekuiti dan kualiti, masih terdapat jurang yang luas antara bandar dan luar bandar, khususnya dari sudut pencapaian pelajar (RMK Ke-8). Persoalan ini sering dikaitkan dengan masalah kekurangan input pendidikan yang berkualiti di luar bandar.





Namun demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan aksesibiliti, ekuiti, kualiti dan kecekapan pengurusan pendidikan di luar bandar bagi mengurangkan jurang pencapaian pelajar antara bandar dan luar bandar (KPM, 2001). Usaha tersebut menjadi matlamat utama kerana pendidikan di Malaysia dan juga negara lain mampu meningkatkan mobiliti sosial dan merupakan agen pemodenan kepada masyarakat kurang beruntung di luar bandar (Inkeles, 1974; Psacharopoulos, 1977; Abd Rahim, 2002)

Menurut teori reproduksi sosial, keadaan tidak beruntung dalam satu generasi akan mewariskan keadaan tidak beruntung dalam generasi berikut. Dalam konteks ini, merujuk kepada Rajah 3 di atas, sekolah-sekolah kecil yang mempunyai prasarana yang serba berkurangan dari segi kuantiti dan kualiti boleh menjadi faktor institusi yang menyumbang ke arah pengekalan fenomena reproduksi sosial.

Kawasan luar bandar menghadapi fenomena deprivasi sosial kerana tumpuan projek-projek pembangunan dan pembekalan prasarana sosial asas (elektrik, air, telefon dan kesihatan) banyak berfokus di kawasan bandar. Justeru itu, kawasan luar bandar terpinggir daripada arus perubahan dan pemodenan. Pelajar yang tinggal di kawasan sedemikian kekal terpinggir dan besar kemungkinan akan menghadapi persekitaran yang lebih daif daripada pelajar-pelajar di bandar. Justeru, pelajar-pelajar sekolah kecil di luar bandar sedemikian akan lebih cenderung ke arah social reproduction (Bourdieu & Passeron, 1977) atau social deprivation (Rees, 1968) sekiranya tidak dilakukan intervensi polisi secara radikal yang inovatif dan berkesan.






Rees (1968) menjelaskan teori deprivasi merangkumi juga dimensi utama: Educationally, Culturally, Socially Disadvantaged. Manakala UNESCO (1990)  menjelaskan:
“Educational disadvantage refers to the adverse situation experienced by a particular group of people in society whereby their access to (and enrolment in) school and/or non-formal education is affected in a negative way by socio-economic and cultural characteristics such as their gender, race, ethnicity, occupational status of family and geographic locations.”

Walau bagaimanapun, mengikut hasil kajian Inkeles (1974) dengan pelaksanaan dasar intervensi yang terancang, tersusun dan berstrategik sebagai imbuhan kepada pelajar-pelajar kurang beruntung proses kitaran ganas terhadap masyarakat kurang beruntung akan dapat dikurangkan dan dig anti dengan proses mobilisasi sosial melalui pendidikan berkualiti yang boleh melahirkan perubahan nilai dan pemodenan masyarakat luar bandar. Secara perbandingan banyak analisis empirikal telah menunjukkan sekolah-sekolah di Negara-negara sedang membangun yang mempunyai kemudahan asas dan input pendidikan yang berkualiti memperlihatkan tahap pencapaian yang lebih baik berbanding sekolah yang tidak memiliki kemudahan asas yang sempuma (Marope,1996).

Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa tempoh pendidikan yang diterima oleh golongan petani di negara membangun mempengaruhi produktiviti mereka. Sebagai contoh, kajian Psacharopoulos dan Woodhall (1985) yang berdasarkan data Bank Dunia mendapati petani yang mendapat pendidikan lebih tinggi bijak menggunakan sumber seperti baja dan racun serangga berbanding petani yang kurang mendapat pendidikan.



Secara umumnya Bank Dunia pada 1980 telah menggariskan beberapa strategi pelaburan dalam bidang pendidikan untuk meningkatkan peluang pendidikan yang sama rata di pelbagai peringkat kepada semua untuk memenuhi konsep pendemokrasian di dalam pendidikan seperti berikut:

1)    Pendidikan asas perlu disediakan kepada semua kanak-kanak dan orang dewasasesuai dengan sumber yang ada. Dalamjangka masa panjang sistem pendidikanformal dan tak formal perlu dibangunkan pada setiap peringkat pendidikan;

2)    Untuk meningkatkan produktiviti dan memperluaskan ekuiti sosial, peluang pendidikan perlu disediakan tanpa mengira perbezaan jantina, latar belakang etnik dan status sosioekonomi;

3)    Sistem pendidikan perlu euba meningkatkan keeekapan dalaman dalam pengurusan, pengagihan dan penggunaan sumber sedia ada untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti pendidikan;

4)    Pendidikan patut mempunyai kaitan dengan kerja dan persekitaran dalam usaha untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti pendidikan, pengetahuan dan kemahiran perlu untuk perkembangan ekonomi, sosial dan lain-lain; dan

5)    Untuk memenuhi objektif di atas, negara-negara sedang membangun perlu membina dan mengekalkan kedudukan institusi untuk merekabentuk, menganalisis, mengurus dan menilai program untuk pendidikan dan latihan. (World Bank, 1980, ms.10)





4.0       PENUTUP

Sehingga kini pendemokrasian pendidikan dalam konteks negara kita Malaysia, agak berjaya dan sesungguhnya memberikan peluang yang luas kepada rakyat Malaysia untuk memperolehi pendidikan pada peringkat rendah sehingga peringkat tinggi.  Seiring dengan pendemokrasian pendidikan juga adalah diharapkan ianya dapat memenuhi agenda kerajaan untuk menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan dengan menggunakan pendidikan sebagai pengerak utama dan seterusnya dapat melahirkan warganegara yang dapat menyumbang ke arah usaha memajukan negara selaras dengan hasrat Wawasan 2020.

Pendemokrasian Pendidikan merupakan suatu proses mendemokrasikan pendidikan supaya setiap individu diberikan peluang dan hak yang sama untuk mendapat pendidikan serta kemudahan yang disediakan. Dengan kata lain, di bawah proses mendemokrasikan pendidikan , setiap individu diberi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan dan hak memilih jenis sekolah untuk belajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, keistimewaan, jantina, kaum , agama atau latar belakangnya. Oleh sebab itu, pendekatan, pelaksanaan dan amalan pendemokrasian pendidikan haruslah dinilai dengan membuat perbandingan dengan negara-negara yang lebih maju agar hasrat kerajaan untuk membentuk  sistem pendidikan.

No comments:

Post a Comment