Dua guru ditahan miliki dadah di rumah
2010/06/04
SHAH ALAM: Dua guru sebuah sekolah di
daerah ini bakal berdepan hukuman gantung mandatori jika didapati bersalah
selepas polis yang menahan mereka menemui dadah di sebuah rumah teres setingkat
di Seksyen 15 di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah
hari, sepasukan polis Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah
Alam yang menerima maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah menyerbu rumah
berkenaan sebelum menahan empat lelaki termasuk dua guru terbabit. Hasil
pemeriksaan polis merampas lapan botol ubat batuk seberat 14.8 liter, 2,200 pil
pelbagai jenis yang belum dikenal pasti dan 10 pil kuda yang disimpan di dalam
rumah itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner
Nordin Kadir, berkata ketika serbuan, suspek terbabit enggan memberi kerjasama
dan berdiam diri walaupun anggota polis mengetuk pintu rumah itu bertalu-talu.
“Dua guru sekolah kebangsaan yang ditahan berusia 39 dan 28 tahun manakala dua lagi
lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori berusia 20 dan 28 tahun,”
katanya pada sidang media di sini, semalam. Semua suspek terbabit direman
bermula semalam hingga 9 Jun ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta
Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) Kanun Keseksaan.
Nordin berkata, hasil siasatan mendapati
rumah itu milik kelindan lori dan kini menyiasat sejauh mana aktiviti
pengedaran dadah itu dan rangkaiannya.
Sumber :http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2010/06/dua-guru-ditahan-miliki-dadah-di-rumah.html
ANALISIS
Artikel yang diperolehi daripada
blog http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com ini mengenaitangkapan suspek yang memiliki
dadah di mana 2 orang guru telah didapati terlibat sama. Ini berikutan kerana,
guru terbabit yang masing-masing berusia 39 dan 28 tahun berada di rumah yang
telah diserbu oleh pihak polis.
Pembabitan guru dalam kegiatan najis
dadah menconteng arang di kalangan guru. Bilangan guru yang terlibat semakin
hari semakin bertambah bukan sahaja di kawasan bandar tetapi di kawasan luar
bandar. Kejadian semalam amat menggores hati saya sebagai guru. Kementerian
patut buang serta merta guru yang melanggar etika perguruan. jangan lagi ada
pertimbangan seperti memindahkan guru dari bandar ke kawasan luar bandar atau
menurunkan pangkat mereka. Kalau sikap sudah sampai mengedar dadah dimana-mana
pun guru ini ditempatkan tidak akan mengubah sikapnya. Mungkin berubah hanya
sementera sahaja. Barangkali cara pemilihan guru perlu diperketatkan dengan
mengadakan beberapa saringan keutuhan supaya mereka yang ingin menjadi guru
benar-benar memenuhi Standard Guru Malaysia.
Hari ini bilangan guru yang bermasalah
semakin bertambah dengan penglibatan sesetengah mereka dalam kancah najis
dadah, pelacuran, skandal seks dan sebagainya. Penagih dadah terdiri daripada
pelbagai latar belakang. Pengaruh yang kuat ialah rakan sebaya yang dilihat
menjadi faktor penarik seseorang terpengaruh dengan penagihan dadah.
Berjinak-jinak dengan rokok, ingin merasai nikmat ‘stim’ dan mencari kepuasan
adalah antara ruang-ruang yang menjurus kepada penagihan dadah yang juga dikira
sebagai kes baru. Bagi kes berulang, tidak ada daya tahan yang kuat, menyendiri
dan kerap menerima tohmahan menjadikan mereka kembali menagih.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh
Agensi Antidadah kebangsaan, jumlah penagih dadah bagi tempoh 1988 hingga 2005
adalah terkumpul bertambah dari 289,763 pada tahun 2005 kepada 292,696 orang sehingga Mac 2006.
Peningkatan tersebut adalah sebanyak 1.32% berbanding tempoh yang sama pada
tahun 2005.
Majoriti daripada penagih dadah pada 2005
adalah terdiri daripada etnik Melayu (65.9%). Etnik Cina yang terlibat dengan
penyalahgunaan dadah adalah 18.4% dan etnik India adalah sebanyak 10.1%.
Bumiputera Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah
4.0% dan lain-lain 1.6%.
Saya mencadangkan kepada Bahagian
Pengambilan Guru supaya memasukkan ujian air kencing, Ujian kecergasan, ujian
tingkahlaku dan lain-lain yang perlu. Mana-mana calon yang didapati gagal tidak
layak menjadi guru. Apa yang berlaku sekarang ialah cara pemilihan yang sangat
mudah di mana calon hanya mengisi borang, kemudian jika SPM, atau STPM bagus
maka mereka di panggil Ujian Bertulis dan jika lulus ujian bertulis mereka
dipanggil temuduga. Berdasarkan laporan beberapa calon yang di panggil
temuduga, soalan-soalan yang diajukan tidak memberikan ujian sebenar kepada
calon dimana ada penemuduga hanya bertanya 'kenapa pilih UPSI kenapa tidak
pilih UMS?Apa kelebihan universiti ini dan apa kekurangan universiti ini? Saya
rasa soalan-soalan sebegini rupa tidak layak dan tidak sepatutnya diajukan
kepada calon. Sepatutnya soalan yang diajukan ialah kenapa milih bidang
perguruan, apa visi dan misi menjadi guru, apa subjek yang anda suka, kenapa
pilih subjek ini, apa yang anda faham tentang subjek ini, apa sikap seorang
guru yang benar-benar dipanggil guru. Ini sepatutnya soalan yang paling
penting.
Saya mencadangkan supaya semua guru di
Malaysia terutama guru-guru yang mudah baru ditempatkan perlu ada ujian air
kencing dalam proses perlantikan tetap . Ini bagi memastikan guru bersih
daripada najis dadah. Mana mana guru yang gagal melepasi ujian ini perlu
diambil tinadakan segera agar tidak memberikan kesan negative di kemudian hari.
Ini kerana guru yang bermasalah dikhuatiri menjadi contoh yang tidak elok
kepada anak didik mereka yang suatu hari nanti bakal menjadi pengganti para
peneraju negara.
Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan
tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi
penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban,
peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.Dalam Islam, etika
ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan
hidupnya.
Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri
demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana.Kod
etika menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion
perguruan. – Sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru.
Kod Etika Perguruan menyatakan dengan
jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang
pendidikan. –Guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka.Kandungan
yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini menunjukkan perbezaan
tertentu berbanding kod etika di negara lain. Guru dapat melihat keunikan etika yang
diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.Kod Etika dalam bentuk
dokumen, usaha untuk menyemak semula kod ini dapat dilakukan. – Kecemerlangan
sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh
dipertahankan dan dikuatkuasakan.
Menerusi kod etika, guru dapat
meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam putih dan rasmi. –
Membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat
dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.Etika kerja
merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. – Pengamalan etika
dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas,
serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan atnara ahli
dalam organisasi (INTAN, 1991).
Guru tidaklah harus bertingkahlaku
sehingga begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang
akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion
perguruan.Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada
jatuhnya maruah diri.Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah
menjalankannya dengan jujur.
Tanggungjawab utama guru ialah terhadap
muridnya. Kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti
kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.Guru haruslah menumpukan
perhatian terhadap keperluan setiap muridnya.Guru haruslah memberi perhatian
dan pengajaran untuk semua murid tidak kira bangsa dan agama atau kepercayaan.
Guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti
ibubapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang
diterima oleh masyarakat.Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara
adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa,
agama, kepercayaan politik, tempat asal, keturunan, daya intelek dan lain-lain.
Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan
individu di kalangan muridnya dan membimbing mereka memperkembangkan potensi
mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan lain-lain.Guru haruslah
menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid tidak
diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan.Guru tidaklah harus
bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya
darjat profesion perguruan.
Guru tidaklah harus menanam sikap yang
boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara.Guru haruslah
menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat
berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna.Guru tidaklah harus
menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid
dan ibubapa terhadapnya.Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi
contoh baik atau 'role model' kepada muridnya.Guru tidak harus menerima apa-apa
bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang
dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran yang
disahkan.Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau
pengajaran persendirian.Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan,
politik persendirian terhadap muridnya.Guru tidaklah harus meminta atau menerima
hadiah daripada ibubapa atau ahli masyarakat dalam menjalankan tugas
profesionalnya.Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain.Guru
haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk
tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan.Guru tidaklah harus
mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya untuk mendapatkan
sesuatu pangkat dalam profesion perguruan
Guru dianggap sebagai satu profesion yang
paling murni. Ia juga dikatakan satu profesion yang paling unik. Namun berbeza
daripada profesion yang lain seperti doktor, peguam dan arkitek, guru tidak
mempunyai satu badan khas yang mengawal profesionalisme pengamal-pengamalnya
selain daripada Unit Tatatertib Jabatan Negeri. Di Malaysia, adakalanya guru
yang dianggap melanggar etika perguruan tidak akan diambil tindakan pecat atau
lesen mengajar guru berkenaan ditarik balik.
Oleh itu, di pihak guru, mereka harus
mempunyai kualiti-kualiti yang boleh melahirkan pelajar-pelajar yang
dikehendaki oleh ibu bapa, masyarakat, sektor-sektor pekerjaan dan aspirasi
negara secara umumnya. Ini disebabkan sifat-sifat dan kualiti seorang guru akan
memberi impak kepada para pelajar, ibu bapa dan rakan-rakan seprofesion. Antara
kualiti-kualiti tersebut adalah mempunyai ilmu dan berjaya mempraktikkannya
serta mempunyai rasa hormat dan bersikap penyayang terhadap anak-anak muridnya
(Feeny, Christensen, 1979) berperawakan yang baik, bertenaga, bersifat humor,
fleksibel dan peka (Feeny, Christensen & Moravcik, 1996). Sementara Bottery
(dalam Cribb, Gewirtz, 2001) mencadangkan guru-guru bertindak sebagai penjaga
dan pengantara nilai kepada kanak-kanak.
Apakah yang dikehendaki daripada seorang
guru? Persoalan ini mungkin amat sesuai juka kita melihat kualiti-kualiti guru
dan tanggungjawab yang bebani ke atas guru.
Cribb & Gewirtz (2001), mengharapkan
guru bertindak sebagai orang perantara ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka
menyerapi nilai-nilai yang sesuai dengan anak-anak mereka yang bersifat passive
imbiver. Guru-guru, selain bertindak sebagai in loco parentis, juga dikehendaki
menyampaikan dan mengindoktrinasikan para pelajarnya ke arah kebaikan. Beliau
juga menegaskan guru dalam membimbing pelajar harus bertindak sebagai
fasilitator dan mewujudkan suasana yang dapat memberi faedah kepada mereka bila
mereka keluar dari sistem pendidikan nanti.
Feeny & Christensen (1979) meletakkan
beberapa syarat untuk menjadi guru yang berwibawa. Beliau harus memahami
nilai-nilai yang perlu ada pada seseorang guru seperti berilmu dan mempunyai rasa
hormat serta menyayangi kanak-kanak. Ini selari dengan prinsip-prinsip etika
seorang guru yang wajib berilmu dan menyediakan kanak-kanak ke arah menjadi
insan yang berguna dan warganegara yang berdikari. Prinsip Lieberman ( dalam
Foo, 2005) juga meletakkan tanggungjawab melahirkan warga yang berhemah kepada
ibu bapa. Maksudnya di sini pihak sekolah perlu berinteraksi dengan masyarakat
secara mesra, penuh kerjasama dan sikap yang membina.
Selain daripada itu, dalam perlaksanaan
sesuatu inovasi ke arah meningkatkan kualiti pelajar, Black (2001) memohon jasa
baik masyarakat supaya memberikan kebebasan kepada pihak sekolah dan guru untuk
melaksanakan perubahan supaya mereka dapat bekerja tanpa tekanan. Inilah bentuk
kerjasama yang diperlukan seorang guru dari masyarakat, bukan sahaja sokongan
dan bantuan kewangan.
Kesimpulannya, seorang guru dengan
pendapatan yang tidak setimpal (Foo, 2005) harus menjalankan tugas-tugas yang
semakin lama semakin membebankan. Inilah yang mempengaruhi ramai guru terutama
di Barat meninggalkan profesion ini.
Dalam kita melihat isu-isu di atas,
bahagian terakhir perbincangan isu etika ini akan cuba mengupas etika perguruan
itu sendiri.
Pertama, adakah guru-guru kita tahu dan
sedar akan wujudnya etika perguruan yang menjadi garis panduan bagi semua guru
di Malaysia ini? Etika perguruan Malaysia dibaca dengan nama “Tatasusila
Profesion Perguruan Malaysia” yang terdapat di bahagian awal Buku Rekod
Pengajaran guru-guru (Mok Soon Sang, 2000).Adalah diingatkan tentang
kepentingan guru-guru supaya memartabatkan profesionalisme perguruan dengan
cara memahami dan menghayati etika perguruan. Namun begitu, sekiranya guru-guru
sendiri tidak mengetahui tentang keujudan etika perguruan ini, ia amat malang
bagi dunia profesion perguruan.
Antara faktor yang menyebabkan masalah
sahsiah guru ialah akibat tekanan kerja guru itu sendiri. Guru berasa tertekan
dengan beban tugas yang semakin mencabar dan mula mencari alternative yang
salah untuk mengurangkan tekanan. Salah satunya dengan melibatkan diri dalam
aktiviti yang tidak bermoral seperti penagihan dan pengedaran dadah. Guru ini mula berasa gembira dengan aktiviti
ynag dirasakan kurang beban dan dapat menambahkan sumber ekonomi. Ini kerana,
ada guru yang merasakan pendapatan daripada pekerjaan sebagai seorang guru tidak mencukupi.
Diharap
pihak atasan sekolah terutamanya pihak pengetua berusaha untuk mengubah etika
kepimpinan serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan bagi memastikan guru-guru
tidak berasa tersisih apabila pendapat dan cadangan mereka dapat diterima
dengan hati yang terbuka. Sebagai contohnya, memberi pujian dan penghargaan
kepada guru yang telah memberi khidmat yang cemerlang supaya motivasi mereka
akan terus meningkat dan dapat dijadikan sebagai contoh kepada guru-guru yang
lain.
Selain itu, mengadakan majlis-majlis ilmu
ataupun bengkel yang memfokuskan kepada tekanan dan cara pengurusannya samada dari perspektif
motivasi mahupun agama. Ianya dapat membantu memberikan maklumat serta latihan
yang berguna dalam mempersiapkan mental dan fizikal guru dalam menghadapi
cabarancabaran dunia pendidikan yang semakin kompleks sifatnya.
Pihak sekolah juga boleh berusaha untuk
mewujudkan persekitaran tempat kerja yang ceria bagi semua kakitangan samada
pentadbiran, akademik mahupun sokongan untuk memastikan hubungan di antara
mereka sentiasa terjalin dengan erat. Komunikasi sesama kakitangan perlu
diwujudkan dalam erti kata sebenar bagi melangsungkan penyampaian maklumat yang
efektif. Dengan ini, setiap masalah yang melanda dapat dilangsaikan dalam
suasana kekeluargaan tanpa perlu berkonfrontasi sesama sendiri.
Menguatkuasakan peraturan sekolah dengan tegas
tanpa sebarang kompromi dalam usaha mendisiplinkan pelajar yang bermasalah dan
memberi pengajaran kepada mereka. Ini penting kerana peraturan yang tidak
dikuatkuasakan samala seperti tidak mempunyai peraturan sama sekali.
Dalam menguruskan tekanan, terdapat
beberapa teknik yang boleh diguna pakai oleh guru dalam menyediakan diri mereka
untuk menghadapi tekanan. Teknik-teknik ini ternyata boleh membantu guru untuk
menguruskan tekanan mereka di samping memberi kelebihan dari segi pembinaan
kekuatan mental dan fizikal mereka. Dalam kajian-kajian yang telah dijalankan
oleh para penyelidik di luar negara, mereka mengatakan bahawa teknik-teknik yang
disyorkan ini boleh menjadi jalan penyelesaian bagi menghindarkan diri dari
tekanan-tekanan yang tidak perlu.
Menurut Grout (1994), adalah penting
untuk tidak meletakkan tekanan kepada pekerja untuk memastikan mereka mampu
untuk bekerja dalam keadaan yang baik dan tanpa menghadapi sebarang masalah.
Grout (1994) juga menyatakan tekanan tidak sepatutnya menjadi satu perkara yang
menakutkan. Kebanyakan daripada pekerja mampu bekerja di bawah tekanan dan
mereka juga dibayar gaji yang lumayan untuk mengimbangi tekanan yang melanda.
Tekanan hanya akan menghantui pekerja yang tidak mampu mengurusnya dengan baik,
dengan memastikan pekerja menguruskan masa dengan efektif, menikmati kualiti
hidup yang baik dan hanya bekerja keras apabila keadaan memerlukan akan menyebabkan
tekanan pekerja menjadi rendah.
Kecelaruan yang berlaku menjadikan kita
mencipta tekanan kepada diri sendiri tanpa sedar. Selain itu, pemikiran yang
sentiasa positif juga memainkan peranan yang penting di dalam menguruskan
tekanan daripada menjadi semakin buruk.